Rabu, 21 April 2010

KEPENTINGAN ZIKIR DAN WIRID

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله
____________________________________________________________
Zikir ialah ingat atau sebut. Zikrullah ialah mengingati Allah samada menyebut dengan lidah ( zikir lisan ), mengingati Allah dengan hati ( zikir qalbi ) atau mengingati Allah dengan lidah dan hati secara serentak.
Wirid ialah bacaan tertentu yang bersumber daripada al-Quran, hadis, dan doa para wali atau ulama yang diberi oleh guru, untuk diamalkan oleh murid selepas solat fardhu, dengan jumlah yang telah ditentukan oleh guru.
Syaikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarniy menyatakan bahawa wirid adalah antara saluran penting untuk sampai kepada ma'rifatullah. Wirid ialah sesuatu perkara yang diterima oleh seseorang murid berupa amalan untuk ditaati seperti solat-solat sunat, amalan-amalan sunat, pelbagai bentuk istighfar, zikir-zikir, bacaan-bacaan tertentu dan sebagainya.
Mengambil ringan masalah wirid merupakan satu kesilapan. Hal ini adalah kerana wirid itu adalah hak Allah yang mesti ditunaikan oleh seorang hamba Allah kepada-Nya. Ia juga sebagai anak kunci dan rahmat untuk sampai ke hadrat Allah.
Wali Allah Ibn 'Athillah al-Sakandariy berkata; " Seorang murid yang baharu hendaklah mengamalkan dua wirid. yang pertama, wirid untuk dibaca selepas solat Subuh. Yang kedua, wirid selepas solat Maghrib. Adapun bagi murid yang telah mantap, zikir merupakan tumpuan hatinya setiap waktu."
Beliau berkata lagi, " Orang yang meringanringan soal wirid ini ialah orang-orang yang sangat jahil". Wirid ialah penghubung antara murid dengan tuhannya. Oleh itu mereka mesti melaksanakannya berserta dengan hati, semangat yang tinggi dan cergas.
Para ulama menyebutkan ada seratus faedah zikrullah, antaranya;
1. Mengusir syaitan terkutuk
2. Mendapat ridha Allah
3. Mensejahterakan rakanrakan
4. Memperbanyakkan pahala
5. Menghapuskan kesalahan dan dosa
6. Menjadikan wajah berseri-seri
7. Melapangkan dada
8. Menimbulkan ketenteraman antara seorang hamba dengan Allah Ta'ala
9. Memelihara umur
10. Kembali kepada ketaatan yang paling mulia
11. Mencegah pelbagai kesalahan dan keburukan seperti mengumpat dan adu domba.
12. Mengembalikan hati kepada Allah, memeriksa hubungannya dengan Allah, bertaubat dan menyesal.
13. Membalas sebahagian amal-amal solih bahkan menambahnya.
14. Para malaikat mengingati orang yang sentiasa berzikir
15. Allah sentiasa mengingati orang yang sentiasa mengingati-Nya kerana Allah berfirman;
فاذكرونى أذكركم
" Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu" ( al-Baqarah: 152)
Ada yang beramal dengan sesuatu wirid dan zikir tanpa ada guru, umpamanya ia mengambil sesuatu zikir atau wirid dari buku samada ia membacanya atau seseorang membacakan buku tersebut, padahal orang membacakan buku itu tidak pernah mengambil zikir atau wirid dari guru yang mengajar dan mengijazahkan amalan tersebut. Keadaan ini banyak terdapat di masjid dan surau. Mereka beramal tanpa guru. inilah malapetaka akhir zaman apabila ilmu diambil bukan dari mulut orang alim yang ahli dalam bidang zikir.
Justeru saya menasihati diri saya dan umat Islam umumnya agar mempelajari sesuatu amalan zikir, wirid dan sebagainya terus dari guru, bukan semata-mat cedok dari kitab atau buku. Saya percaya pengarang kitab atau buku yang menulis tentang sesuatu kelebihan amalan adalah seorang yang berilmu dan mahu pembaca mempelajari isi kandungan kitab/bukunya dari orang yang ahli, bukan setakat rajin bercakap pasal iman dan amal sahaja tapi tiada daya usaha untuk menambahkan ilmu-ilmu agama khususnya yang berkaitan dengan aqidah, fiqh, tasawuf dan bacaan al-Quran.
Kita perlu ingat bahawa kaifiat amal adalah jauh lebih utama daripada fadhilat amal. Banyak orang tersilap dalam perkara ini sehingga ia sanggup membelakangkan kuliah agama di masjid dan surau, tetapi pada masa yang lain ia mengajak orang ramai duduk dalam majlis fikir atas iman dan amal. Sedang daripada diri mereka mungkin tiada contoh yang baik yang boleh diikuti oleh orang lain. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan